‘Halal’ adalah istilah yang digunakan dalam garis panduan pemakanan dan gaya hidup Islam yang melibatkan lebih daripada sekadar mengelakkan daging ‘khinzir’.
Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, takrifan halal ialah hukum membenarkan sesuatu perbuatan (dalam Islam), diperbolehkan (tidak ditegah oleh syarak), diizinkan dan dibenarkan.
Konsep halal dari sudut Syariah perlu difahami dengan menyeluruh kerana halal bukan sekadar bermaksud produk yang boleh dimakan dari segi hukum syarak tetapi juga meliputi maksud ‘baik’ (thoyyib) bererti bersih, suci, selamat dan berkualiti.
Berdasarkan Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasan Halal) 1975, perintah ini memberi definisi yang betul dan pemakaian istilah seperti “ditanggung halal” atau ”makanan untuk orang Islam” atau perkataan yang bermaksud halal itu adalah sesuatu yang memenuhi hukum syarak. Menurut manual pensijilan Halal Malaysia JAKIM, halal, ditanggung halal atau makanan Islam yang digunakan ke atas makanan dalam apa jua bentuk hendaklah bermaksud:
- tidak mengandungi apa-apa bahagian daripada binatang yang dilarang oleh hukum syarak;
- tidak mengandungi apa-apa benda yang ditakrifkan sebagai najis mengikut hukum syarak;
- tidak disedia dan diproses di kilang dengan menggunakan apa-apa alat yang tidak bebas dari najis mengikut hukum syarak; dan
- tidak dalam masa menyediakan, memproses atau menyimpan itu bersentuhan atau berdekatan dengan apa-apa makanan yang tidak memenuhi perenggan i) ii) atau iii) atau apa-apa benda yang difikirkan sebagai najis mengikut hukum syarak.
Secara umumnya, JAKIM merupakan badan yang telah menyediakan garis panduan produk halal secara komprehensif. Garis panduan ini merangkumi prosedur pemeriksaan, pengesahan dan permohonan sijil halal, kelulusan, syarat-syarat, pemantauan dan penguatkuasaan.
Selain itu, konsep halal melibatkan lebih daripada sekadar makanan dan boleh merangkumi pelbagai aspek kehidupan harian, termasuk pakaian, kewangan, dan tingkah laku peribadi.
Untuk bantuan pensijilan halal boleh hubungi kami di +603 5192 2185 atau emel kami di consultant@ansarcomp.com.my