21 Mei 2022: Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan kurniaNya, majlis AnsarComp Raya & Family Day Ansarian 2022, dapat dilaksanakan dengan jayanya. Semua warga Ansarian khususnya ingin merakamkan penghargaan kepada semua tetamu yang sudi meluangkan masa untuk hadir ke majlis ini.
Majlis yang dianjurkan pertama kali selepas dua tahun rakyat kena akur dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimana banyak majlis sosial dan aktiviti keramian disekat adalah bertujuan untuk mengukuhkan lagi hubungan dan jalinan silaturrahim antara staf, ahli keluarga dan tetamu yang hadir. Majlis yang dihadiri kira-kira 300 tetamu jemputan termasuk warga Ansarian.
Jemputan kali ini dikhususkan untuk ahli keluarga Ansarian iaitu pasangan dan anak-anak mereka, sanak-saudara dan sahabat-handai terdekat. Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran tetamu kehormat iaitu Ustaz Pahrol Mohamad Juoi dan juga Ustaz Kamaruddin.
Majlis terbahagi kepada dua sesi iaitu sesi pagi yang bermula dari jam 11.00am hingga 2.00pm dan sesi petang pula bermula 2.00pm-5.00pm. Tujuannya adalah untuk mengelakkan kesesakan sewaktu majlis sedang berlangsung.
Majlis dimulai dengan bacaan doa oleh pengacara majlis yang bertugas dan diikuti dengan ucapan aluan oleh (COO) AnsarComp Puan Ramlah Binti Hamad dan (Pengurus) AnsarComp Puan Zarina Binti Dzulkupli. Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang majlis ialah sesi fotografi bersama warga Ansarian dan para tetamu, ramah mesra bersama badut dan sesi karaoke. Selain itu, turut disediakan ‘photo booth’ sebagai kenangan untuk para tetamu bawa pulang. Bersempena dengan AnsarComp Raya tidak dilupakan agihan ‘duit raya’ kepada anak-anak Ansarian.
Pelbagai juadah seperti nasi hujan panas, nasi salit, kambing golek, sate, juadah raya, laksa dan apam balik yang dihidangkan. Turut terhidang aneka kuih muih seperti kuih seri muka, popia, cream puff, kuih sagu serta cendol dan ais krim.
Terima kasih tidak terhingga kepada semua tetamu yang hadir. Semoga kita dapat bersua lagi di masa yang akan datang.
Kami mohon maaf jika ada sebarang kekurangan. Moga Allah berkati majlis ini. Aamiin