Panorama nan menghijau yang diliputi hutan batu pintar; Putrajaya telah menjadi pilihan Perhimpunan Bulanan dan Latihan Mac 2023 oleh pihak pengurusan AnsarComp.
Kebiasaannya, perhimpunan hari Sabtu pada minggu ketiga diadakan di pejabat yang terletak di Putra Heights. Meneladani gaya hidup terkini bertemakan “vibe dan healing” juga mengurangkan rasa tepu akan konkrit dinding pejabat, pemilihan taman rekreasi bersebelahan tasik amat tepat untuk sesi kali ini.
Persiapan selama seminggu hasil usahasama Jabatan Sumber Manusia dan IT akhirnya dilaksanakan pada tanggal 18 Mac 2023. Bendera-bendera kecil, belon, kekabu, khemah sehingga makanan benar-benar “Instagrammable” dan boleh dimuatnaik sebagai momen-momen indah di Pinterest. Bahasa mudahnya – cantik dan indah!
Seawal jam 9 pagi setelah kedatangan semua kakitangan AnsarComp di perkarangan bersebelahan tasik, Coach Zin Ijan hadir untuk mengetuai tarian Zumba dan senamrobik. Kelihatan semua bersemangat dan memerah keringat dengan jayanya sambil ditemani bunyian lagu yang asyik supaya badan tidak terasa penat dengan masa.
Badan cergas, otak cerdas. Sesi seterusnya pula dikemudi oleh Puan Ramlah Hamad. Menghampiri bulan Ramadan Al-Mubarak, sesi ini lebih ke arah bermuhasabah diri dan menanam azam yang jitu supaya Ramadan kali ini penuh makna juga dapat dilalui dengan sempurna.
Bagi mengembalikan kembali adrenalin setiap peserta, dua wakil fasilitator; Afif Khalid dan Luqman Zaini tampil dengan beberapa permainan menguji minda. Sesi ini membuatkan peserta berimaginasi dengan nombor, perkataan serta bermain dengan keupayaan motor disamping menguji kepintaran individu juga berpasukan.
Terasa rugi jika sudah berada di tempat yang indah kalau kita hanya mensia-siakannya sahaja. Sesi seterusnya ini pula diketuai oleh Puan Zarina Dzulkupli. Beliau meminta untuk setiap kumpulan menghirup dan menghela nafas segar Putrajaya dengan matlamat idea dan kandungan baharu dapat diciptacambah untuk penghasilan video-video atau content baharu di AnsarComp.
Sebelum majlis berakhir, Jabatan Sumber Manusia mengambil alih semula majlis untuk meraikan sambutan hari jadi bagi yang lahir pada bulan Februari-Mac, kenal-kenalan dengan kakitangan baru dan doa untuk menghadapi bulan Ramadan yang mendatang.
Syukur ke hadrat ilahi perhimpunan Sabtu kali dapat diadakan dengan baik dan jayanya!