TINGGAL 5 hari sahaja lagi sebelum tibanya tanggal 9 Zulhijjah. Jangan lupa niat puasa sunat Arafah pada malam Rabu 27 Jun 2023 sebagai hari untuk kita berpuasa sunat hari Arafah. Puasa hari Arafah pada 9 Zulhijjah di tanah haram, merupakan hari jamaah Haji melaksanakan wukuf di Arafah.
Sebahagian para ulama dalam mazhab Syafie dan Maliki berpendapat puasa sunat ini jatuh pada tarikh 9 Zulhijjah di negara masing-masing. Kelebihan puasa sunat ini dapat menghapuskan dosa-dosa selama setahun sebelum dan setahun selepasnya. Ini berdalilkan Hadis daripada Abu Qatadah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ
“Puasa hari Arafah, aku berharap kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga tahun sesudahnya.”
(Sunan al-Tirmizi, no.680, Hadis Hasan).
Para ulama memberikan pandangan bahawa apa yang dimaksudkan dengan dihapuskan dosa-dosa setahun sesudahnya itu adalah diberikan taufik kepada seseorang itu dengan melakukan amalan-amalan soleh dan banyak bertaubat.
Ini bagi mengelakkan tanggapan yang salah bahawa seseorang boleh melakukan maksiat sesudah berpuasa pada hari Arafah pada tahun itu dengan adanya jaminan penghapusan dosa. Antara dalil lain mengenai kelebihan puasa sunat Arafah ialah diriwayatkan juga daripada salah seorang isteri Nabi S.A.W:
أَﻥّ اﻟﻨَّﺒِﻲ ﺻَﻠّﻰ اﻟﻠﻪُ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ ﻛَﺎﻥَ ﻻ ﻳَﺪَﻉٌ ﺻِﻴَﺎﻡَ ﺗﺴﻊِ ﺫِﻱ اﻟﺤِﺠّﺔِ
“Bahawa Nabi S.A.W tidak meninggalkan puasa 9 Zulhijjah.”
(Sunan Abu Daud, no.2438)
Selain puasa pada hari tersebut, kita juga digalakkan berpuasa sunat Isnin dan Khamis atau memperbanyakkan puasa sunat secara mutlak bermula awal bulan Zulhijjah.
Adapun pada hari Aidiladha iaitu 10 Zulhijjah dan hari-hari tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah kita dilarang berpuasa, bahkan dianjurkan pula untuk makan dan minum serta bersedekah daging korban kepada fakir miskin. Manfaatkan kesempatan yang ada untuk kita beribadah sebanyak-banyaknya. Jangan lupa ajak sekali ahli keluarga, sanak saudara dan rakan-rakan untuk berpuasa bersama-sama nanti.