
Di Malaysia, semua produk kosmetik yang dijual dan diedarkan di pasaran harus mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Salah satu persyaratan utama adalah notifikasi produk kosmetik sebelum dijual.
Produk kosmetik yang tidak memenuhi persyaratan yang ditetapkan dilarang penjualannya di Malaysia. Notifikasi produk adalah proses dimana syarikat yang bertanggungjawab memasarkan produk kosmetik membuat pengisytiharan berkenaan maklumat produk kepada NPRA sebelum mereka memasarkan produk tersebut di pasaran Malaysia.
Produk kosmetik dikawal di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Peraturan- Peraturan ini adalah berkaitan dengan kawalan keselamatan, kualiti dan tuntutan produk untuk memastikan semua tuntutan kosmetik boleh disokong dengan data yang mencukupi, bagi tujuan melindungi dan menggalakkan kesihatan awam.
KKM sering mengingatkan pengguna untuk mengelakkan diri daripada membeli dan menggunakan produk-produk kosmetik beracun yang mengandungi Hydroquinone, Merkuri dan Tretinoin. Hal ini kerana ianya mendatangkan banyak kemudaratan kepada diri pengguna.
Pengguna yang bijak hendaklah membaca label produk, sentiasa berwaspada dengan iklan produk kosmetik, membeli produk kosmetik di premis yang boleh dipercayai, merujuk doktor atau ahli farmasi dan memastikan produk kosmetik bernotifikasi.
Kendatipun begitu, apakah risiko menggunakan produk kosmetik tidak bernotifikasi?
- Berisiko mendapat kesan mudarat akibat menggunakan produk bercampur merkuri dan hydroquinone.
- Kualiti produk kosmetik yang tidak diketahui dan diragui.
- Kandungan bahan dalam produk tidak dapat dipastikan kualiti dan keselamatannya.
- Berisiko dicemari bakteria atau kulat.
Tuntasnya sebagai pengguna, anda boleh memeriksa status notifikasi produk kosmetik di laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara atau meminta maklumat dari penjual atau pengeluar produk. Menggunakan produk kosmetik yang sah dan mematuhi peraturan adalah langkah yang penting untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan diri anda.
Sumber: NPRA, Know Your Medicine, My Health
——–
Kepada pengilang, pengimport dan pengedar produk kosmetik yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh hubungi kami di talian +603 5192 2185 atau emel kami consultant@ansarcomp.com.my.