
“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Israa’ : 1)
Peristiwa Israk dan Mikraj adalah peristiwa yang sangat penting bagi kita semua yang mengaku beriman dengan apa yang di bawa oleh Rasulullah SAW. Peristiwa ini mengandungi iktibar atau pengajaran yang besar bagi umat Islam khasnya dan umat manusia amnya. Israk dan Mikraj membuktikan kebesaran Allah SWT. Kisah Israk dan Mikraj ini wajib diimani oleh kita semua berdasarkan sandaran yang sahih daripada Al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW.
Peristiwa Israk dan Mikraj ini memberi pengajaran yang amat besar dan mengingatkan kepada kita semua tentang betapa tingginya kedudukan masjid dan peranannya dalam kehidupan Muslim. Dalam peristiwa Israk Mikraj ini Allah SWT telah memperjalankan baginda Rasulullah SAW bermula dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin yang di berkati disekelilingnya, kemudian dibawa ke langit bertemu Allah azzawajalla.
Semoga kita semua mengambil iktibar dan pedoman daripada peristiwa bersejarah Israk dan Mikraj.